Monday, September 30, 2019

Ringkasan Falsafah Ekonomi Islam


Seperti yang kita ketahui, ekonomi merupakan salah satu elemen atau skop perbincangan yang sangat penting dan mustahak bagi sesebuah negara. Setiap negara di dunia ini sangat mementingkan ekonomi malah menjadikan tahap ekonomi sebagai indikator kemajuan sesebuah negara itu sama ada ianya negara yang maju atau mundur. Terdapat beberapa jenis ekonomi di dunia ini antaranya adalah ekonomi bersifat kapitalis, komunis, campuran, sosialis dan tidak ketinggalan juga ekonomi Islam.
Dalam Bahasa Arab, ekonomi diambil daripada perkataan iqtisad yang membawa maksud kesederhanaan. Berdasarkan Ibnu Qayyum, kesederhanaan di sini membawa maksud satu pertengahan antara dua kekejian iaitu antara boros dan kedekut. Allah swt telah berfirman di dalam ayat suci Al-Quran surah Furqan ayat 68 :
“Dan (termasuk hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pemurah) orang-orang yang apabila menafkahkan (harta) mereka tidak berlebihan dan tidak pula mereka kedekut, di antara keduanya secara wajar.”




Nak berkongsi satu formula yang Ustazah Azalina (pensyarah Ekonomi Islam) saya ajar.
Akronim bagi falsafah ekonomi Islam ialah : TaKhTU (Tauhid, Khalifah, Tazkiyah dan Ukhuwah)


Falsafah ekonomi Islam terbahagi kepada empat elemen yang utama iaitu yang pertama, Tauhid. Inilah yang menjadi salah satu asbab terbesar perbezaan antara ekonomi Islam dan ekonomi konvensional. Tauhid bermakna mengeesakan Allah swt dan tauhid terbahagi kepada tiga jenis iaitu tauhid uluhiyah, tauhid rububiyyah dan tauhid asma wa sifat. Tauhid uluhiyah ialah mengesakan Allah swt dengan cara tidak menyukutukan Allah swt dan hanya Allah swt yang wajib disembah dan dimohon pertolongan. Oleh itu, umat Islam dilarang sama sekali mensyirikkan Allah swt termasuklah dalam aktiviti ekonomi. Manakala Tauhid Rububiyah adalah meyakini dengan jazam bahawa Allah lah satu satunya Tuhan yang Maha Pencipta sekalian alam dan makhluq di atas muka bumi ini. Tauhid Asma Wa Sifat pula membawa maksud meyakini dengan jazam tentang nama-nama dan sifat sifat Allah swt yang Maha Sempurna. 

      Falsafah yang kedua ialah Khalifah. Khalifah dari segi bahasa membawa maksud pengganti. Manusia merupakan wakil Allah swt yang diutuskan di atas muka bumi ini untuk memakmurkan alam sejagat. Oleh itu, umat Islam haruslah menggunakan dengan sebaik baiknya sumber yang telah dikurniakan Allah Azza Wajalla ke arah jalan yang benar berpandukan Al- Quran dan Sunnah. Allah swt telah berifrman dalam surah Al-Baqarah ayat 30 mafhumya :

“Dan (ingatlah) tatkala Tuhan engkau berkata kepada Malaikat : Sesungguhnya Aku hendak menjadikan di muka bumiini seorang khalifah. Berkata mereka : Apakah Engkau hendak menjadikan padanya orang yang merosak di dalamnya dan menumpahkan darah, padahal kami bertasbih dengan memuji Engkau dan memuliakan Engkau? Dia berkata : Sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa yang kamu tidak ketahui.”

Yang ketiga ialah, Tazkiyah. Tazkiyah bermakna penyucian. Dalam garis panduan Islam, harta seseorang haruslah disucikan dengan cara mengeluarkan zakat, berinfaq dan bersedeqah di jalan Allah swt. Kita perlu menyedari bahwa pada bahagian rezeki kita terdapatnya rezeki orang lain dan ekonomi Islam mengajar kita bahawa tidak seharusnya seseorang itu membekukan harta mereka tanpa sebarang pengagihan yang membuatkan yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin. Oleh itu, Allah swt telah mewajibkan bagi setiap umat Islam untuk mengeluarkan zakat malah ianya merupakan salah satu rukan Islam yang wajib ditunaikan. Allah swt telah berfirman dalam Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 110 mafhumnya :

“Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.”

Yang keempat ialah Ukhuwwah. Ukhuwwah bermaksud ikatan atau pertalian antara manusia dan manusia. Ekonomi Islam amat berkait rapat dengan muamalah antara manusia. Ia adalah perhubungan manusia dengan manusia atau habluminannas dan ekonomi Islam menetapkan garis panduan yang jitu bagi memelihara perhubungan antara manusia ini agar terus harmoni. Sebagai contoh, Allah swt telah mewajibkan pembayaran zakat kepada semua umat Islam kepada asnaf agar kehidupan mereka tidak tertindas malah terpelihara dan ini dapat memelihara ukhuwwah antara manusia di atas muka bumi.

No comments:

Post a Comment